Tuesday, July 30, 2013

udang masak lemak cili padi

Entri kali ini memang menarik dan ringkas. Kalau ikut resepi paling mudah cuma kunyit, lada, serai, asam dan santan je, tapi rasa macam tak sah gitu, kalau tak letak segala bagai.  So, saya alter sedikit....hehehe.



Bahan2

Semangkuk udang, sukahati nak buang kulit atau tidak
☆ 5 biji bawang kecil merah
☆ 2-3 ulas bawang putih
☆ 1 inci kunyit

1/2 keping asam keping
(Atau 1 sudu teh air asam jawa pekat)
1 biji kentang
2 batang serai, dititik
1 helai daun serai
Garam secukup rasa
Santan - dalam 11/2 cawan @ 2 cawan

Caranya
1. Bersihkan udang.  Toskan airnya.
2. Hiris halia dan masukkan kedalam periuk.
3. Tumbuk bahan yang bertanda ☆, sehingga lumat.  Boleh blender jugak kalau mahu
4. Masuk kedalam periuk.
5. Letak 1/2 gelas air (atau agak2 boleh cover udang), serai, kentang, daun kunyit dan asam. Air jangan banyak, biar kuah pekat.
6. Nyalakan api dapur. Didihkan dengan api perlahan.
7. Masukkan udang, kacau sebentar.
8. Masukkan garam dan santan. Tunggu sehingga mendidih dan udang berubah warna. Dah siap!!!

Senangkan? Hehehe... memang berselera saya makan kali ni. Makan dengan nasi panas dan ulam timun je.

Tuesday, July 23, 2013

Pelangi pagi..

Salam semua.  Hari ni saya buat kuih raya lagi..Actually nak buat kuih semprit pelangi, tapi dah habis check satu laci ni, acuannya entah pergi ke ke mana.  So, jadilah bentuk macam ni. Ok jugaklah. Cantik warna dia.  Tapi masa dah hujung2 tu, warna dah bercampur aduk. Jadi, ada nampak sedikit comot.




Resepinya macam ni...


BAHAN-BAHANNYA :-)

250 gram butter
150 gram gula aising, diayak supaya x berketul
1 kuning telur
★ bahan ini diayak bersama

★250 gm tepung gandum
★150 gram tepung kastard
★30 gram tepung jagung

1 camca teh esen vanilla
Pewarna makanan.

CARA MEMBUATNYA :-)

1. Putar butter dan gula aising hingga sebati, selalunya saya putar dengan kelajuan perlahan.
2. Masukkan kuning telur dan vanilla.  Pukul hingga sebati.  Jangan lama sangat nanti saiz biskut mengembang bagai dipam-pam!!
3. Masukkan tepung2 yang telah diayak tadi sedikit demi sedikit hingga habis dan bancuhan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
4. Bahagikan kepada beberapa bahagian (sama banyak), dan letakkan pewarna yang menjadi kesukaan anda. Saya letak hijau epal,  biru, merah dan satu bahagian lagi tidak berwarna. Tu lah dapat warna meriah macam kat atas tu..
5. Setiap warna diambil sedikit dan isikan kedalam penekan biskut.  Kena hati2 sikit, jangan sampai warnanya jadi comot.
6. Kalau ada acuan semprit,  tekan sehingga panjangnya lebih kurang 2 ruas jari (2.5sm)
7. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 15 - 20 minit atau hingga masak.
8. Bila masak, sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Adalah jugak yang hangus. Kalau dulu masa zaman kecik2, memang tunggu yang hangus ni. Menyibuk main2 dengan mak, tapi tolong buat kuih tak mahu. Tunggu biskut hangus ni macam satu pesta! Berebut kami adik beradik.

Ok, cuba jangan tak cuba tau.. pasti meja anda berseri-seri dengan biskut pelangi pagi ni.


Monday, July 22, 2013

Ikan bercili

Dah berapa hari puasa.... 14 hari dah. By this time rasa macam dah biasa kan?  Saya masak ikan bercili je sahur tadi. Dah tak selera nak makan kari2 ni. Nampak Nad tambah nasi, sedaplah agaknya tu.

Camni lah rupa dia...




Sempoi..resepinya campak2 saja.

1 ekor ikan siakap, dilumurkan dgn garam dan kunyit (saya guna ikan kembung je)
1 biji bawang besar, dipotong dadu
1 inci halia,  dipotong halus memanjang
2 ulas bawang putih, di mayang halus
1/2 keping asam keping
2 batang kacang panjang, dipatahkan lebih kurang 1 inci
Minyak untuk menggoreng ikan
2 sudu besar minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

*dikisar atau tumbuk

* 3 biji bawang merah kecil
* 10 biji cili padi,  boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa anda
* 1/2 inci kunyit hidup,  kalau x ada,  bolehlah guna 1 camca teh serbuk kunyit

Cara2 nya:

1. Goreng ikan garing-garing,  sesuai dgn citarasa. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih dan goreng sehingga naik bau.
3. Masukkan halia dan bawang besar dan goreng hingga layu.
4. Masukkan bahan kisar, garam dan asam keping dan goreng sehingga kering airnya.
5. Masukkan kacang panjang dan goreng sebentar.
6. Masukkan ikan, dalam 2-3 minit, angkat dan hidangkan.

Sedap makan dgn nasi panas berulam timun.

Enjoy. Masa yang diambil dalam 20 minit sahaja.  Pantas dan ringkas.

Ini pula versi yang saya tukar dengan daging.  Masih menyelerakan. Daging tu saya goreng separuh garing dahulu. Goreng dengan kunyit dan garam dan juga sedikit bawang untuk bau gorengan yang lebih harum.



Sunday, July 14, 2013

Biskut oat yang rangup

Kuih apa nak buat ni? Ni soalan saya pada diri sendiri.

Teringat raya masa kecil2 dulu. Mak buat kuih murah-murah je tapi kami adik beradik suka. Meriah rumah dengan bau cookies yang harum menawan. Terasa betul mood nak beraya. Kami semua tak kaya tapi kenangan yang macam tu menjadikan kami kaya dengan perasaan. Tau bagaimana nak appreciate perkara yang berlaku dalam hidup kita. Rasanya kami lebih kaya dengan perasaan.... bukan perasan ok! Bestkan satu rumah bau cookies dibakar...memng terasa suasana raya.

Meh sini, dalam sibuk2 pening fikir kuih apa nak buat, teringat lah saya dengan oat yang berlambak kat rumah ni.  Lebih baik saya buat biskut oat!  Kurang sikitlah bebel En suami bertanya bila nak habiskan oat ni.  Ingatkan nak diet makan oat untuk breakfast tapi nasi lemak dan roti canai jugak yang dicari!

Inilah hasilnya...walla....




Bahan-bahan

200 grm mentega
80 grm gula aising
1 camca teh esen vanilla
125 grm tepung gandum
60 grm tepung beras
130 grm oats,  resepinya kata rolled oats tapi saya guna oats biasa jek.

CARA MEMBUATNYA :
1. Mentega,  gula aising dan esen vanilla dipukul sehinga sebati. Saya putar sekejap low speed dalam 1 minit je.
2. Gaulkan oat, tepung gandum dan tepung beras dalam bekas lain. Tepung tu saya ayak dulu, tak ayak pun tak apa kot. Masukkan sikit2 kedalam adunan mentega.
3. Uli menjadi doh dan balik dgn plastik dan simpan dalam peti ais sekejap dalam 20 minit.
4. Keluarkan doh, bentukkan bulat-bulat dalam sebesar ibu jari. Saya guna sudu pengukur 1tsp, baru saiznya sekata.
5.  Susun atas dulang pembakar yang telah disapu sedikit mentega dan tekan sedikit doh tadi dengan garfu.
6. Sapukan kuning telur di atas biskut ni .
7. Bakar dalam oven pada suhu 175`C selama 20 - 25 minit.
8. Sejukkan biskut. Simpan dalam bekas kedap udara.

Best biskut ni, rangup dan tidak manis sangat.

Cubalah....


Kuning telur tu jangan sapu banyak2, nanti jadi macam kat atas,  tak berapa nak cantik.

Tuesday, July 9, 2013

Sambal tumis udang yang sedap


 Sambal udang, yes, sambal udang!!

Sudah lama saya tak makan sambal udang. This is my favorite. Walaupun malas nak kopek kulit sebab princess kat rumah ni tak akan makan udang ni kalau tak kopek, saya gagahkan diri jugak kopek kulit udang ni. Bukan semua bahagian saya kopek, sebab saya masih mahu merasakan menghisap kulit udang yang manis dan lemak tu. Bagi saya kalau kopek semua hilang kick sambal udang ni.  Gitu lah. ...

Resepinya ringkas je. Saya suka yang mak buat, siap ada belacan lagi. Tapi saya tak simpan belacan sebab asyik beli tak habis guna dan selalu buang je. Tapi yang saya buat ni memang ringkas. Bahan2 nya cuma:

1/2 kilo udang, saiz besar
1 biji bawang besar
1 biji bawang putih
1/2 cawan minyak
1/2 cawan lada kisar
Garam secukup rasa
1/2 keping asam keping, atau 1/2 tsp asam jawa

Cara2

1. Panaskan minyak
2. Goreng bawang putih sehingga kekuningan dan naik bau.
3. Masukkan bawang besar, goreng hingga layu. Ada orang suka masuk bawang kemudian,  tapi saya suka masukkan awal sebab saya suka rasa bawang yang manis.
4. Masukkan lada kisar dan goreng sehingga garing atau lada masak.
5. Masukkan asam dan garam.
6. Masukkan udang.  Kacau sebentar dan angkat.
7. Masukkan dengan nasi panas.

Hari ni saya makan udang ni dengan sup daging dan sambal tempoyak. Bila dah mengadap, tak menoleh kiri kanan dah.

Jom makan! !



Sunday, July 7, 2013

almond London yang rangup

Teringin nak makan biskut almond London yang rangup. Selalunya saya beli je tapi hari ini ambitious sikit. Saya buat sendiri!  Kalau raya biasanya memang biskut ni saja yang boleh masuk walaupun perut dah penuh. Tapi tengok cara jugalah. Saya suka yang ringan dan rangup. Coklat nya tak suka manis sangat.

Inilah hasil air tangan saya hari ini. Yang penting sedap. Percayalah, resepinya mmg buat biskut sangat rangup. Saya sangat-sangat suka!






Meh..camni lah cara buat dia.

Bahan2

250 gm mentega
125 gm gula halus
1 biji telur
1 tsp esen vanilla
50 gm serbuk badam
Kacang badam yang dipanggang secukupnya.  Cara nak panggang boleh masukkan dalam oven panas 200ºC selama 5 hingga 10 minit; ataupun goreng tanpa minyak dalam kuali.

☆di ayak bersama

☆200 gm tepung jagung
☆300 gm tepung gandum
☆2 sudu tepung beras, kalau tak ada pun tak apa
☆1 tsp baking powder

★untuk hiasan

badam cincang , secukupnya
600 gm coklat masakan, cairkan secara double boil bersama
200 gm butter;  boleh tambah kalau coklat masih pekat.
(Tak tau double boil?  Didihkan air dalam periuk kecil, letakkan mangkuk tahan panas atas periuk tu, dan masukkan coklat dan butter atas mangkuk tersebut.  Tunggu lah dengan sabar ye, sampai semua coklat cair)


Cara-cara

1. Pukul mentega dengan gula hingga kembang.
2. Masukkan telur, esen vanilla dan pukul sekejap.
3. Masukkan serbuk badam, kali ni sebati kan dengan senduk je.
4. Masukkan bahan tepung yang diayak tadi sedikit demi sedikit. Bila dah kental, gunakan tangan je untuk menguli sehingga memebentuk doh.
5. Cubit sedikit doh dan masukkan kacang badam ke dalamnya.  Untuk mendapatkan bentuk yang lebih serupa, saya scoop dengan sudu pengukur 1tsp. Dengan cara ini besar doh agak sekata. Bentukkan menjadi bentuk lonjong.
6. Susunkan dalam dulang pembakar.  Jangan rapat2 sangat.
7. Bakar dalam oven dengan suhu 200ºC selama 20 minit.  Jangan lupa panaskan oven dulu. Kalau tak,  biskut tak cantik.
8. Keluarkan apabila sudah masak.  Sejukkan.

★untuk menghias, ada dua cara yang saya selalu guna.

1. Letak biskut dalam mangkuk kertas berwarna coklat.  Pipe kan coklat atas biskut sampai cover semua biskut. Taburkan kacang badam cincang.
2. Ataupun celupkan biskut tersebut gunakan penyepit dan letakkan dalam mangkuk kertas comel. Ni nak kena pakar sikit.

Tapi dua2 cara ni senang je kan.. kadang2 saya buat biskut dulu, dan saya simpan dalam bekas kedap udara.  Bila diperlukan baru celupkan dalam coklat.

 Cubalah.. anda pasti teruja!!

Tuesday, June 18, 2013

projek masak masak... yeah..

Projek masak2..




Nasi goreng marjerin serba ringkas..

Nasi goreng ni mmg sedap. Saya buat ikut resepi Internet tapi ubah sikit ikut bahan yang ada dekat rumah ni.


So, inilah bahan yang saya gunakan.

4 cawan nasi
4 sudu mentega
6 ulas bawang kecil, potong dadu
3 ulas bawang putih, potong halus
2-3 inci karot, potong dadu
2 batang kacang panjang,  potong dadu
10 biji cili padi
3 biji telur, saya guna 4 biji


1. Panaskan mentega di dalam kuali sehingga cair semuanya.
2. Goreng bawang putih sehingga naik bau.
3. Masukkan pula bawang merah dan goreng sehingga garing.
4. Masukkan bahan2 lain dan goreng sebentar.
5. Masukkan nasi. Bila nasi agak panas, masukkan telur
6. Goreng sebentar dan hidangkan semasa masih tengah panas..

Enjoy!!!



Sunday, May 26, 2013

Pameran buku di Big Bad Wolf

Buku...yes, i love books!!!

Saya berkesempatan singgah dan membeli banyak buku di Big Bad Wolf book fair.

Inilah yang saya dapat.  Beli untuk Nadiah jugak tapi balik dari book fair tadi dia dah start meng'engrossed'kan diri dengan buku yang dibeli.


Lepas masak lauk untuk esok, dan gosok baju untuk ke pejabat, saya pun mulakan aktiviti membelek buku yang dibeli. Harap-harap buku ini memberi faedah kepada saya.  Amin.


Saturday, May 25, 2013

Nasi lemak

Pagi ni buat nasi lemak sambal sotong.  Sebenarnya nasi lemak yang paling saya suka ialah nasi lemak beserta dengan sambal ikan bilis garing atau pun sambal kerang. Selalunya sebelum pergi kerja selalu singgah nasilemak2u.com ataupun nasi lemak kakak depan Public Bank. Kakak tu dah tak jual lagi dah... tu yang frust!

Nasi lemak pagi ni biasa2 je, ramai dah yang tau resepi nasi lemak ni. Saya letak daun pandan, garam dan sedikit mentega supaya nasi tu berbau wangi dan enak. Lepas tu hidangkan atas daun pisang. Pagi2 lagi dah memotong pelepah pisang dan layurkan sedikit atas dapur gas.  Hubby tengok senyum je.. ingat saya dah kena sampuk,  masak nasi lemak beriya-iya.

Nasi lemak kali ini saya makan dengan nugget ayam, telur rebus, timun dan hirisan tomato.  Saya tak buat ikan bilis sebab anak-anak tak suka sangat.


Sambal sotong saya pun ringkas je kali ni. Cuma lada, bawang, garam dan air asam jawa besera dengan sotong yang saya potong bulat. Tak taulah orang lain, tapi saya goreng bawang tu sampai kekuningan baru saya letak lada. Saya letak garam awal-awal dan  bukan dah nak hujung masakan supaya rasa garam tu sebati.  Goreng sambal sampai keluar minyak. Saya letak santan sikit, ni petua dari mak. Yum..yum

Nilah hasilnya...



Makan dengan kuih ni yang saya dapat dari rumah orang kahwin semalam. 

Tak tau orang lain panggil apa, tapi saya panggil kuih telinga keling.  Susah jugak nak explain kat nadzmi kenapa dipanggil sebegitu namanya,  saya cuma boleh cakap ianya menyerupai telinga orang India jika mereka memakai anting-anting yang berat. 

Hidang nasi lemak ni dengan air milo panas atau teh tarik. ... Gerenti mak mertua lalu pun tak nampak. .. :)

Rendang pedas ayam

Adik memang suka makan rendang. Kalau balik Rembau rumah mertua yang memang pakar memasak rendang ayam ni memang satu kepastian. adik kalau nak makan rendang yang sedap memang kena tunggu balik kampung.

Tiba-tiba terasa hati nak mencuba rendang.  Banyak juga resepi yang saya cari di Internet tapi yang ini menarik perhatian saya. Teringat rendang yang dibuat oleh arwah nenek saya menjelang raya. Tapi nenek yang mesra saya panggil puan sudah tak ada.  Yang ada kenangan membuka almari lauk di malam raya dan 'mencuri' makan rendang yang tersangat sedap, yang saya rasa tiada tolok bandingnya. Rendang puan ada yang warnanya hitam dan sangat pedas. Masa tu tak nampak kepentingan bertanya resepi,  so semua pengetahuan tu tak menurunlah pada saya.

Puan pernah cakap masak perlu ketekunan. ..bahan mesti cukup. Jangan banyak air. Jangan pakai mesin semua. Biar lambat asalkan hasilnya sedap. Saya pulak lebih mementingkan ringkas... mungkin sebab itu hasilnya ala-ala kadar je. Ok saya nak ubah semua tu. Sekarang saya akan cuba resepi yang ringkas tapi sedap dan masih mengekalkan ciri-ciri tradisional..

Jom layan resepi ini..



RENDANG AYAM CILI API


1 mangkuk ayam (potong kecil2, lebih kurang makan untuk 4 orang)
3 batang serai
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
3 sb kerisik, saya tak jadi guna kerisik seperti dalam gambar sebab dah expired,  nasib baik ada kelapa parut untuk dibuat kerisik...
1 cawan santan pekat

(Dikisar bersama)
25 -30 biji cili api,  paling bagus cili padi kampung,  saya guna cili biasa sahaja
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit (saya guna 1sb serbuk kunyit)
1 keping asam keping
8 biji bawang kecil
4 biji bawang putih






1. Masukkan semua bahan yang di kisar ke dalam kuali. Masukkan ayam, serai, asam keping, garam dan sedikit air. Didih sehingga ayam kecut dan bau serai naik.
2.  Masukkan santan. Untuk kali ini saya guna santan kotak. Rasanya masih tetap sedap. Itu kata Nadiah.
3. Setelah hampir kering, masukkan kerisik.



Dan inilah hasilnya...







Spaghetti bolognese untuk dinner malam ni..

Nadzmi, anak sulung saya baru saja balik dari MRSM JB, dan saya saya teringat makanan kegemaran dia.... spaghetti bolognese bila suami cadangkan makan ringkas je malam ni. Tapi saya malas nak cadangkan apa2. Badan sungguh tak larat.

Actually badan penat sebab baru balik dari menghadiri majlis perkahwinan anak saudara suami di Batu Pahat.  Cuaca sekarang memang panas betul,  jadi bila dah sampai rumah ni rasa memang nak cari bantal je.  Memancing tahap kelaparan mereka. .. saya tanya suami dan anak2 dengan berkata mereka pasti masih kenyang lagi. Ahhh! Jawapan 'kenyang' yang saya tunggu tak ada malah beriya mereka kata mereka dah lapar balik.

Saya mengajak mereka makan di luar seperti selalunya... tapi suami kata tak larat. Dan dia mencadangkan supaya masak spaghetti sahaja... tambah dengan daging cincang. Adoiyai,  malas betul.


Ya, saya menggunakan sos botol sahaja sebab semua dah ada dalam sos botol tu. Teringin nak buat from scratch tapi dengan tahap 'kemalasan' yang ada ni, memang sos botol paling senang.  Kami sekeluarga suka Prego wild mushroom.  Dek kerana saya dah berjanji dengan diri sendiri yang saya akan masak yang terbaik untuk keluarga,  saya tambah bahan lain sedikit.



Jom layan resepinya..

SPAGHETTI BOLOGNESE BAHAGIA



1 paket spaghetti
1 botol spaghetti sauce Prego Wild Wild Mushroom
1 cawan daging,  dicincang dan diletakkan secubit garam
3 ulas bawang putih, dicincang
3 ulas bawang kecil merah, dicincang
1 sb minyak masak
Garam secukup rasa


1. Didih kan air dalam periuk yang boleh muat semua spaghetti.
2. Setelah mendidih, rebus spaghetti sehingga masak, biasanya dalam 15 minit.
3. Setelah kenyal masak 'al dante', angkat dan toskan.
4. Untuk sosnya, panaskan minyak dalam kuali.
5. Masukkan bawang putih dan tumis sehingga naik bau.
6. Masukkah bawang merah dan tumis sehingga layu.
7. Masukkan daging cincang dan goreng sehingga masak.
8. Masukkan sos dan didihkan. Saya campurkan 1/2 cawan air supaya sos tak terlalu pekat. Letakkan garam secukup rasa.
9. Angkat dan hidangkan.
10. Jangan lupa menambah sedikit butter pada spaghetti yang masih panas untuk mengelakkan spaghetti melekat. Butter juga buat spaghetti lebih sedap.






Macam mana?  Nak cuba? Ini adalah resepi pasti jadi... :), resepi orang malas.

Friday, May 24, 2013

Tofu telur yang tersangat sedap..

Tofu telur ini kegemaran Nadiah. Setiap kali kami makan tengahari di Restoran Kampungku dia mesti mengambil lauk ini. Pernah dia suruh saya masak tapi saya ni manalah reti masak sangat. Lebih-lebih pun selalu masak sambal ayam 'minyak' kegemaran adik. Itupun jarang-jarang saya buat sebab adik duduk asrama.  Tinggal Nadiah aje dirumah ni, so, selalunya kami makan di kedai je.

Tiba-tiba terdetik pulak hati ni nak mula memasak lauk kegemaran anak-anak. Nanti bila saya dah tua betul, takut tak ada apa kenangan masakan sedap yang dibuat oleh saya untuk anak-anak. Macam kami adik beradik selalu teringat kari mak masak... teringat kuih koci labu,  dan yang paling best ialah kuih badak berendam yang saya rasa tiada tolok bandingan sedapnya di dunia ini.

Well, this is my second try, first time buat hari tu memang laku. Tapi masa tu tak ada tepung jagung,  saya ganti dengan tepung gandum. Hasilnya masih boleh tahan. Saya juga tak guna sos tiram, sos yang itu memang saya tak berapa suka. Sebagai ganti saya guna 'Maggi seasoning'. Nak lagi sedap tambah minyak bijan sedikit dihujung masakan tersebut. Tapi macam biasa, buat orang yang jarang2 ke dapur seperti saya ni, nak beli benda2 tu semua memang membazir sebab nanti bukannya guna lagi. Namun saya puas hati sebab Nadiah makan berselera kali ini.

Jom tengok gambar. Nilah rupa tofu bila dihidangkan.




'Terpekat'sikit kot, so kena tambah air sikit ni.





TOFU TELUR

2 tube tofu telur
1 ulas bawang putih, diketuk
Minyak untuk menggoreng
2 sk tepung jagung, campur dengan 1 sb air dibuat pes
1 1/4 cawan air
Sedikit Maggi seasoning,  boleh ganti dengan 2 sb sos tiram
Sedikit lada putih
5 tangkai daun sup,  daun bawang pun boleh
1 biji telur, dipukul.
Garam secukup rasa

1. Tofu dipotong nipis dan digaul dengan tepung jagung supaya tidak melekat.
2. Panaskan kuali dengan minyak sedikit dan goreng tofu sehingga kekuningan. Asingkan.
3. Tuang minyak menggoreng dalam bekas lain.  Tinggal kan dalam 2 sb sahaja.
4. Tumiskan bawang putih hingga naik bau.
5. Masukkan air dan masukkan pes tepung jagung dan garam, kacau sehingga agak likat.
6. Sebelum mendidih, masukkan telur yang dipukul tadi. Kacau sebati.
7. Masukkan tofu. Biar mendidih.
8. Masukkan daun sup dan angkat.

Selamat mencuba.




Thursday, May 23, 2013

My debut cake... red velvet yang mabeles!!!

Teruja dengan blog masakan. Dah lama nak ada sesuatu medium yang menggahkan apa yang saya suka.

Ok, my first try buat kek red velvet. Sebenarnya, suka tengok Rainbow cake tapi rasanya dengan ilmu yang sangat cetek seperti sekarang ini,  saya tak mampu membuat kek ini lagi. So saya mulakan dulu dengan kek red velvet ni... bolehlah....





Merahnya memang jadi, resepinya kata 1 sudu besar pewarna merah, saya letak 3...hahaha.

Frosting dia kurang menjadi, tapi Nadiah suka, mungkin sebab dia manis, saya tambah susu pekat manis sedikit..memandai2 je, tu agaknya yang membuat dia tak jadi sangat. Ada kawan bagi resepi frosting ni dan saya dah cuba makan frosting dia, memang sedap dan berkerim, tak memualkan, tapi nak kena selak balik message yang lama2 ni yang malas sikit..





Rupa macam bantal pun ada kan? Saya baca kalau nak kek naik gebu leper, kena slow baking, oven tak boleh panas sangat... nanti saya cuba dan tunjukkan hasilnya ye..

Untuk resepinya,  nanti saya post kan. Terlupa nak salin tadi.. :)

Ni resepinya...

RED VELVET CAKE

1/2 cawan shortening, saya beli di Tesco je
2 biji telur
1 1/2 cawan gula pasir
2 1/4 cawan tepung gandum,  diayak
2 sb serbuk koko
3 sb pewarna merah
1 sk garam
1 sk vanilla
1 sb baking soda
1 sb cuka makan
1 cawan buttermilk, boleh juga diganti dengan campuran 1 cawan susu segar dan 1 sb cuka makan, dan dibiarkan 'berehat selama 10 minit)

Untuk icing

1 cawan susu segar
1 cawan butter, mesti guna butter untuk lebih sedap
1 cawan gula pasir
1 sk vanilla
3 sb tepung gandum


1. Pukul shortening, gula dan telur sehingga kembang.
2. Campurkan serbuk koko dan pewarna membentuk pes dan campurkan dengan shortening tadi.
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit,  juga masukkan garam dan vanilla dan buttermilk.
4. Campurkan pula baking soda dan cuka membentuk pes dan masukkan dalam adunan.
5. Pukul hingga sebati.
6. Sapu minyak atau mentega pada loyang supaya kek tidak melekat.
7. Bakar dalam 2 loyang 8 inci dan bakar selama 45 minit dalam kepanasan 160 darjah Celsius
8. Keluarkan dan biarkan sejuk sebelum di sapu dengan icing.

Untuk icing

1. Masak susu dengan tepung sehingga pekat.  Jangan sampai mendidih. Sejukkan.
2. Pukul butter dan gula pasir sehingga kembang.  Campurkan vanilla.
3. Campurkan pula campuran sudu dan tepung tadi.
4. Putar seperti membuat whipped cream, atau putar sehingga gebu. Saya campurkan juga dengan 2 sb susu pekat manis untuk lebih sedap berkerim gitu...